Halaman

9.3.10

Khas Buat .....

Ke Syurga Bukan Dengan Jantina
“Kamu mahu bercinta dengan seorang Muslim?” ibu Jane menyoal anaknya.
Jane hanya mendiamkan diri.
“Kamu tahu kamu itu lebih mungkin menjadi ahli Neraka. Itu nilai perempuan di dalam agama Syamil (Islam)!” tambah si ibu lagi.
Jane tertekan.
Beliau mengatur pertemuan dengan saya untuk bertanyakan hal ini.
“Benarkah ada hadith yang menyebut bahawa perempuan lebih ramai di Neraka?” tanya Jane. Jujur mahu tahu.

Permintaan Jane itu saya bawakan kepada menelusi sebuah hadith di dalam Sahih al-Bukhari, hadith ke-29:

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “Ĺ“mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Hadith ini ditempatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Kitab al-Iman di bawah suatu bab yang diberi tajuk “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur.
“Hadith ini sering disalah anggap. Ia dijadikan hujah oleh golongan yang skeptik dengan Islam, bahawa Islam merendahkan taraf wanita,” saya memulakan penjelasan.
“Tetapi Muslim pun ramai yang percaya begitu!” kata Jane.
“Benar. Muslim yang terlupa bahawa asas agamanya adalah ilmu dan kefahaman. Mereka menjadi tukang angguk kepada Islamophobia!” saya berpandangan.

“Hadith berkenaan bercakap tentang kecenderungan sikap kaum wanita. Sabdaan itu menyuluh tabiat wanita yang mudah terjerumus kepada perbuatan mengingkari kebaikan dan Ihsan suaminya, hanya disebabkan oleh satu kekurangan. Perbuatan ini dikaitkan dengan kufur kerana di dalam hadith yang lain, perintah agar wanita menghormati suami digambarkan beriringan dengan perintah sujud kepada Allah,” saya menyambung perbualan.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Kalaulah aku dibenarkan memerintah seseorang sujud kepada seorang yang lain, nescaya akan kuperintahkan perempuan sujud kepada suaminya“ [riwayat at-Tirmidhi dan lain-lain]

Dalam erti kata yang lain, hak suami ke atas isteri dipadankan dengan hak Allah. Kerana itulah, mengingkari hak suami, diistilahkan sebagai kufur. Namun, kufur ini bukanlah kufur yang membatalkan iman. Bahkan ia termasuk di dalam kufur “kecil” yang bersifat menafikan nikmat.

Perkaitan hadith ini dengan wanita adalah kaedah al-Quran dan as-Sunnah yang mewatakkan perilaku sesuatu perbuatan dengan pelakunya yang lazim. Misalnya di dalam surah an-Maidah ayat 39, Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut tentang hukum hudud ke atas pesalah kes curi dengan firman-Nya:
“Dan pencuri lelaki serta pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan-tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan, (dan hukuman itu bertindak sebagai) cegahan dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Bijaksana”
Manakala di dalam kes zina, Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut di dalam surah an-Noor ayat 2:
“Penzina perempuan dan lelaki hendaklah disebat setiap seorang mereka itu dengan 100 sebatan”
Mendahulukan penjenayah wanita atau lelaki di dalam kes salah laku mereka disebut di dalam kedua-dua ayat tadi mengikut kelaziman yang biasanya ditemui dalam masyarakat. Amat kerap kecurian itu didalangi oleh penjenayah lelaki dan amat sering zina itu bermula dari seorang perempuan. Namun yang difokuskan di dalam ayat itu adalah kedua-duanya beroleh hukuman yang sama.

Maka hadith Rasulullah SAW tentang wanita itu tadi, menyebut bahawa wanita akan masuk ke neraka seandainya mereka mencela suami dan mengingkari kebaikan suami kepadanya, bukannya kerana wanita itu wanita. Maka di manakah letaknya aspek penindasan di dalam kenyataan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu? Sedangkan apa yang kelihatan adalah ketulusan Islam di dalam mendidik pengikutnya agar telus membuat muhasabah terhadap salah laku diri. Buruk tingkah laku, buruklah akibatnya. Elok tingkah laku, baiklah kesudahannya. Maka soal iman dan amal itu yang disuluh, bukannya jantina.

Allah Subhanahu wa Ta’aala telah pun bertegas di dalam al-Quran:
“Sesungguhnya orang lelaki dan perempuan yang Islam, orang lelaki dan perempuan yang beriman, orang lelaki dan perempuan yang taat, orang lelaki dan perempuan yang benar, orang lelaki dan perempuan yang sabar, orang lelaki dan perempuan yang merendahkan dirinya (kepada Allah), orang lelaki dan perempuan yang bersedekah, orang lelaki dan perempuan yang berpuasa, orang lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatan dirinya serta orang lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, maka Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang agung” [Al-Ahzab 33: 36]

Ayat ini turun sebagai wahyu dan menjadi prinsip Islam di zaman wanita menjadi sampah di Eropah. Islam memuliakan wanita dengan jaminan Allah dan undang-undangNya. Ia telah terpahat lebih seribu tahun sebelum wanita di England berjaya beroleh hak berjual beli dan memiliki harta sendiri bahkan lebih seribu tahun sebelum wanita di India terselamat dari dibakar bersama suaminya yang mati.

Sesungguhnya isu penindasan kaum wanita bukan isu umat Islam. Ia adalah isu masyarakat Timur dan Barat yang zaman berzaman meletakkan wanita di gelanggang yang zalim. Di zaman purba mereka melihat wanita dengan jijik dan keji manakala di zaman moden hari ini, mereka menjadikan wanita hanya sebagai bahan iklan melakukan produk. Dulu mereka memandang keji kepada wanita, hari ini mereka menghina taraf wanita. Itulah status wanita pada masyarakat yang jauh dari hidayah Allah. Sewajarnya mereka terpaksa bermati-matian untuk beroleh satu bahagian sosial.

Namun Islam adalah agama emansipasi wanita dari status sedemikian rupa. Jika ada penindasan terpencil seperti budaya kahwin paksa ke atas wanita di sesetengah negara umat Islam, atau khitan wanita yang kejam seperti di Sudan, ia adalah perilaku yang berpunca dari adat yang menyalahi Islam. Bukan prinsip Islam yang mengajar wanita dilayan begitu.
“Demi Allah, dengan rahmat dan pilihanNya, lelaki dan perempuan akan masuk ke syurga berdasarkan iman dan amal mereka, bukannya dengan jantina. Bukan juga dengan hanya bersenang lenang dengan status Islam mereka!” saya menyudahkan perbualan.
“Sukarnya dibezakan antara Islam sebenar dengan Islam yang bercampur aduk dengan adat pengikutnya” simpul Jane.
“Kita ada rujukan. Itu kemuktamadannya” saya tersenyum.
Mahu Jane pulang dengan keyakinan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

p/s: Terima kasih

4.3.10

FENOMENA AKIDAH



DI ZAMAN RASULULLAH


1. Kedudukan akidah islam pada zaman nabi adalah bersih, suci dan stabil kerana semua persoalan berhubung dengan akidah dapat dirujuk terus kepada Rasulullah.

2. Hukum dan sumber akidah diambil terus daripada sumber yang sahih iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah dan kerana itulah kedudukannya bersih.

3. Akidah islam telah sempurna dengan kewafatan Rasulullah.

4. Pembentukannya menerusi sumber wahyu dengan cara yang mudah dan logik.

5. Galakan Rasulullah supaya sahabat melakukan taddabur (pemerhatian) terhadap kejadian dan keajaiban alam

3.3.10

BERAMAL TANPA MAZHAB?





MAMPUKAH BERAMAL TANPA MAZHAB




Mutakhir ini wujud fenomena di kalangan muda-mudi yang ghairah untuk beramal
hanya melalui pembacaan terus daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Setiap hukum
yang diketengahkan oleh kitab-kitab fiqh mazhab akan dipersoalkan dalil dan
sumbernya. Fenomena ini membuatkan para ilmuan agama terpaksa memberi dua
pendekatan jawapan. Sama ada menjawab berpandukan kitab fiqh mazhab atau
terus membentangkan dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta sumber-sumber
hukum yang lain.


Di sini timbul persoalan, adakah golongan ini benar-benar ingin mengetahui dalil iaitu
bagi memperkuatkan kefahamannya terhadap hukum? Atau, adakah mereka sudah
mula meragui fiqh berlandaskan mazhab dan hanya mahu memahami hukum terus
daripada sumbernya iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.



Sekilas pandang, ia suatu perkembangan yang baik, kerana ummah ingin belajar
mengetahui dalil. Atau lebih tepat ingin terus belajar melalui al-Qur’an dan al-
Sunnah. Sememangnya tidak dapat diragukan bahawa kita diwajibkan berpegang
kepada kedua-duanya. Namun apa akan terjadi jika seseorang awam diberikan
suatu manhaj yang tidak tahu digunakan. Manhaj tersebut ialah belajar secara
‘langsung’ daripada al-Qur’an dan al-Sunnah!







Sebagai seorang awam yang tidak mendalami agama secara rinci, tidak mendalami
nas-nas syara‘ secara halus, bahkan tidak bertemu nas-nas syara‘ melainkan hanya
dalam jumlah yang amat terbatas. Wajarkah orang seumpama ini mengatakan, itu
tidak menepati al-Sunnah. Itu tiada dalam al-Qur’an. Itu hanya rekaan tradisi
masyarakat Melayu. Itu hanya adat semata-mata. Itu bid’ah! Dan pelbagai lagi
telahan yang mungkin akan dibuat kerana berpandukan manhaj yang diajar oleh
gurunya.







Bukankah suasana seperti ini boleh membawa mereka terjebak ke dalam
pendustaan di atas nama Allah dan Rasul-Nya. Mungkin banyak nas-nas syara‘ yang
boleh diistidlal terhadap sesuatu hukum syara‘, tetapi disebabkan kejahilannya
tentang nas tersebut atau ketidakupayaannya dalam berijtihad dan memahami nas
maka dia menafikan kewujudan sesuatu hukum.







Oleh itu mengajak masyarakat untuk meninggalkan mazhab atas alasan kembali
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah adalah suatu usaha yang sia-sia. Mazhab
seharusnya difahami sebagai sebuah disiplin ilmu (manhaj) untuk kita memahami al-
Qur’an dan al-Sunnah. Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Syafi’i
khususnya dalam bab ibadat dan munakahat atau disebut juga fardhu ’ain. Namun
dalam bidang-bidang lain seperti mu’amalat, jinayat, kehakiman dan perundangan
serta isu-isu kontemporari, jelas menunjukkan kerajaan dan umat Islam tidak terikat
hanya kepada mazhab Syafi’i. Oleh itu tuduhan bahawa umat Islam di Malaysia
mewajibkan berpegang kepada satu mazhab dalam kesemua masalah adalah
sesuatu yang keterlaluan.







Berpegang kepada mazhab Syafi’i dalam bab fardhu ’ain sepertimana yang
diamalkan sekarang bukanlah bermakna kita menolak pandangan mazhab-mazhab
lain. Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan ketidakmampuan seseorang untuk
beramal dalam ibadatnya. Sememangnya hukum asal berpegang kepada mazhab itu
tidak wajib, namun bagi selain mujtahid, beramal dengan fatwa mujtahid (mazhab)
adalah wajib memandangkan tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syara‘
melainkan dengan mengikuti mazhab.







Dalam hal yang sama, seseorang awam itu juga tidak mampu untuk melakukan tarjih
iaitu menilai pendapat atau dalil yang terkuat antara mazhab. Ketidakmampuan itu
memerlukannya untuk berpegang kepada mazhab yang dianutinya sahaja. Dr.
Muhammad Said Ramadhan al-Buti menegaskan seseorang yang mampu membuat
tarjih di antara mazhab-mazhab itu, bermakna dia adalah seorang mujtahid dan
keilmuannya sudah tentulah mengatasi keilmuan para mujtahid mazhab-mazhab
terdahulu.







Kesimpulannya, hanya dengan penguasaan disiplin ilmu yang tinggi sahaja,
seseorang mampu untuk membuat pemilihan mana yang paling sahih dan paling
benar antara mazhab-mazhab tersebut. Sekaligus perkara ini sudah tentu mustahil
berlaku kepada golongan awam.



-------X-----------------


SAMA-SAMALAH KITA MENAMBAHKAN ILMU DEMI KEBENARAN, DEMI MENAMBAHKAN PENGUASAAN DISIPLIN ILMU......