Halaman

15.7.12

Nasihat Syeikh Nuruddin Al-Banjari

Indah ilmu kerana AKHLAK sang penuntut ilmu..

Antara nasihat Syeikh Nuruddin Al-Banjari kepada penuntut ilmu :

1. Jangan terpesona dengan gelaran PhD atau MA dan sebagainya. Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat. 

2.Terlalu murah nilaian ilmu jika digunakan hanya untuk gaji yang lumayan. Kalau belajar hanya untuk duit akan terhenti dengan duit, dapat duit ilmu ditinggal.

3.Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam menguasai tanah umat Islam disebabkan ulama kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.

4.Jadilah 'abidan lillah (hamba kepada Allah jangan 'abidan li makhluk (hamba kepada makhluk). Tututlah ilmu dengan niat yang ikhlas pasti akan membawa kepada keberkatan hidup.

5.Berakhlaklah dengan guru yang mengajarkan ilmu kepada kita. Mohonlah restu guru, dekati dan dampingilah mereka kerana ia merupakan kunci dan rahsia kejayaan seorang pelajar.

6.Hormatilah kitab-kitab, susun dengan baik dan terhormat, jangan letak sesuatu di atas kitab, membawa kitab jangan seperti memegang ikan sahaja, dakapkanlah kitab ke dada.

7.Akhlak pelajar juga mestilah besar sebagaimana besarnya kitab-kitab yang dipelajari, berilmu dan beramallah, jangan sampai minat belajar di kelas Tafaqquh tapi tak berminat untuk beramal dengan ilmu dan menyampaikanya.

wallahu a'lam.
Nasihat Syeikhuna Syeikh Nuruddin AlBanjari AlMakki kpd penuntut ilmu

6.7.12

KHUTBAH 6/7/2012: MENGHIDUPKAN AMALAN BERSEDEKAH DIDALAM MASYARAKAT

Hari ini bertugas menyampaikan khutbah jumaat di masjid mukim beris bechah semak.




Intisari khutbah hari ini:

1. Sedekah adalah suatu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia.

2. Zakat adalah amalan wajib ditunaikan oleh umat islam yang berkemampuan manakala sedekah adalah amalan sunat yang dituntut.

3. Ia merupakan pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan amalan yang mulia serta mencakupi perkara yang mendatangkan kebaikan dari sekeci-kecil sehinggalah sebesar-besarnya.

4. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah: 261

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

5. Imam Sufian al-saury berkata: Sesiapa yang mendermakan sesuatu atau daripada sesuatu yang diharamkan, ia diumpamakan seperti seseorang yang membersihkan pakaian dengan air najis atau kencing. Tentulah pakaian itu tidak akan bersih, kecuali dengan air yang suci. Begitulah juga dosa itu tidak dapat dihapuskan kecuali dengan yang halal. 

6. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

" Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian kepada orang muslim yang lain, kecuali ia didalam lindungan Allah SWT selama pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain."

www.e-maik.my

WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA


WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA 
Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
 Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).
Hadis ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama. 
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain. 
Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan;  Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa,  memberi sewa,  mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis,  yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.
Rujuk: Kitab Mastika Hadis

30.1.12

Salam Maulidur Rasul


Kewajiban Untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan Buat Rasulullah (s.a.w).

Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai Nabi Nya dan katakanlah kepada mereka:

"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31)

Alangkah indahnya hidup dalam kasih sayang Allah, limpahan cinta Rasulullah


Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433H

11.8.11

Tambah ilmu di bulan Ramadan

Kesilapan Kerap Muslim

Dalam Bulan Ramadhan


Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

18.7.11

sambutan isra mikraj


Penceramah: Tuan Qadi Jajahan Pasir Mas

Tempat: Masjid Beris Bechah Semak

14.5.11

Istimewanya Engkau Ya Muhammad!

Tajuk: Keistimewaan Nabi Muhammad Yang Dipuji Di Padang Mahsyar

Artikel oleh: Ustaz Mohd Zahrin
(Kuliah Maghrib : 13/5/2011)




Ketika manusia dan makhuk lain dihimpunkan di padang mahsyar, menderita dan dalam azab
sengsara..... betapa kedahsyatan, kesengsaraan dan huru hara yang berlaku menyebabkan mereka tercari-cari - siapa kah yang dapat memberi syafaat, yang mampu memohon kepada Rabbul Jalil agar di segerakan "Mahkamah Pengadilan'.


Di tengah-tengah kegawatan, huru hara dan penderitaan ini munculnya "Pemberi Syafaat Yang Agung". Namanya di puja dan dipuji oleh sekalian manusia dan makhluk yang berada di Padang Mahsyar ..... darjatnya di angkat kepada "Maqamam mahmuda". (مقاما محمودا)


Engkaulah penghulu kami, kekasih kami, pemberi syafaat kami, kebanggaan kami.... Engkaulah wahai Muhammad SAW.

Dari Abi Said Al-Kudri ra katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Aku penghulu anak-anak Adam pada hari kiamat, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; ditanganku lah panji-panji kepujian, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; tidak ada seorang Nabi pada hari itu -mulai dari nabi Adam hingga kepada Nabi-Nabi yang lain- melainkan semuanya dibawah panji-panjiku; dan akulah orang yang mula-mula terbelah bumi untuk bangkit keluar daripadanya, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah.
(Riwayat Imam Tirmizi)


Dari Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
..... Ketahuilah! dan aku pun kekasih Allah, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; dan aku pembawa panji-panji kepujian pada hari kiamat, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; dan akulah orang yang mula-mula mengemukakan syafaat, juga yang mula-mula dikabulkan syafaatnya pada hari kiamat, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah.....
(Riwayat Imam Tirmizi)


Marilah kita sama-sama mempersiapkan diri untuk berada dibawah panji-panji Nabi Muhammad SAW dengan banyak berselawat keatas Baginda........ serta mengikut segala suruhan dan meninggalkan apa yang dilarang...