Halaman

14.5.11

Istimewanya Engkau Ya Muhammad!

Tajuk: Keistimewaan Nabi Muhammad Yang Dipuji Di Padang Mahsyar

Artikel oleh: Ustaz Mohd Zahrin
(Kuliah Maghrib : 13/5/2011)




Ketika manusia dan makhuk lain dihimpunkan di padang mahsyar, menderita dan dalam azab
sengsara..... betapa kedahsyatan, kesengsaraan dan huru hara yang berlaku menyebabkan mereka tercari-cari - siapa kah yang dapat memberi syafaat, yang mampu memohon kepada Rabbul Jalil agar di segerakan "Mahkamah Pengadilan'.


Di tengah-tengah kegawatan, huru hara dan penderitaan ini munculnya "Pemberi Syafaat Yang Agung". Namanya di puja dan dipuji oleh sekalian manusia dan makhluk yang berada di Padang Mahsyar ..... darjatnya di angkat kepada "Maqamam mahmuda". (مقاما محمودا)


Engkaulah penghulu kami, kekasih kami, pemberi syafaat kami, kebanggaan kami.... Engkaulah wahai Muhammad SAW.

Dari Abi Said Al-Kudri ra katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Aku penghulu anak-anak Adam pada hari kiamat, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; ditanganku lah panji-panji kepujian, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; tidak ada seorang Nabi pada hari itu -mulai dari nabi Adam hingga kepada Nabi-Nabi yang lain- melainkan semuanya dibawah panji-panjiku; dan akulah orang yang mula-mula terbelah bumi untuk bangkit keluar daripadanya, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah.
(Riwayat Imam Tirmizi)


Dari Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
..... Ketahuilah! dan aku pun kekasih Allah, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; dan aku pembawa panji-panji kepujian pada hari kiamat, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah; dan akulah orang yang mula-mula mengemukakan syafaat, juga yang mula-mula dikabulkan syafaatnya pada hari kiamat, pengakuan ku ini bukan untuk bermegah-megah.....
(Riwayat Imam Tirmizi)


Marilah kita sama-sama mempersiapkan diri untuk berada dibawah panji-panji Nabi Muhammad SAW dengan banyak berselawat keatas Baginda........ serta mengikut segala suruhan dan meninggalkan apa yang dilarang...

21.4.11

PENAWAR KESEDIHAN

Jadikan Kritikan Tajam Sebagai Penghormatan

Sang Pencipta dan Pemberi rezeki Yang Maha Mulia, acapkali mendapai cacian dan cercaan dari orang-orang pandir yang tidak beraqal. Maka, apalagi saya, anda dan kita sebagai manusia yang selalu tersilap dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seseorang yang selalu memberi, memperbaiki, mempengaruhi dan berusaha membangun, maka anda akan selalu menjumpai kritikan-kritikan yang pedas dan pahit. Mungkin pula, sesekali anda akan mendapat cemuhan dan hinaan dari orang lain.

Dan mereka, tidak akan pernah diam mengkritik anda sebelum anda masuk ke dalam liang lahad, menaiki tangga ke langit, dan berpisah dengan mereka. Adapun bila anda masih berada di tengah-tengah mereka, maka akan selalu ada perbuatan mereka yang membuat anda bersedih dan menitiskan air mata, mengalirkan darah kematian anda dan mengusik ketenangan anda.

Perlu diingat; orang yang duduk di atas tanah tidak akan pernah jatuh, dan manusia tidak akan pernah menendang anjing yang sudah mati. Adapun mereka, marah dan kesal kepada anda adalah kerana mungkin anda mengungguli mereka dalam hal kebaikan, keilmuan, tindak-tanduk, atau harta. Jelasnya, anda di mata mereka adalah orang berdosa yang tidak terampuni sampai anda melepaskan semua kurnia dan nikmat Allah yang pada diri anda atau sampai anda meninggalkan semua sifat terpuji dan nilai-nilai luhur yang selama ini anda pegang teguh. Dan menjadi orang yang bodoh, pandir dan tolol adalah yang mereka inginkan dari diri anda.

Oleh sebab itu, waspadalah terhadap apa yang mereka katakan; kuatkan jiwa untuk mendengar kritikan, cemuhan dan hinaan mereka! Bersikaplah laksana batu karang; tetap kukuh berdiri meski diterpa butiran-butiran salji yang menderanya setiap saat dan ia justeru semakin kukuh kerananya. Ertinya: Jika anda merasa terusik dan terpengaruh oleh kritikan atau cemuhan mereka, bererti anda telah meluluskan keinginan mereka untuk mengotori dan mencemarkan kehidupan anda. Padahal, yang terbaik adalah menjawab atau tindak-balas kritikan mereka dengan menunjukkan akhlaq yang baik. Biarkan saja mereka, dan jangan anda merasa tertekan oleh setiap angkara mereka untuk menjatuhkan anda! Sebab, kritikan mereka yang menyakitkan itu pada hakikatnya merupakan ungkapan penghormatan untuk anda. Yakni; semakin tinggi darjat dan posisi yang anda duduki, maka akan semakin pedas pula kritikan itu.

Anda akan mampu menutup mulut mereka dan menahan gerakan lidah mereka. Yang anda mampu, adalah hanya mengubur dalam-dalam setiap kritikan mereka, dan bersikap acuh tak acuh terhadap mereka. Dan cukup mengomentari setiap perkataan mereka sebagaimana yang diperintahkan Allah Ta'ala di dlalam firmanNya ini:

..... matilah kamu dengan kemarahan kamu itu ..... (Ali-'Imran: 119)

Bahkan, anda juga dapat melawan perkataan mereka yang buruk dengan diam seribu bahasa dengan cara memperbaiki akhlaq dan meluruskan setiap kesalahan anda. Dan bila anda ingin diterima oleh semua pihak, dicintai semua orang, dan terhindar dari cela, bererti anda telah menginginkan sesuatu yang mustahil terjadi dan mengangankan sesuatu yang terlalu jauh untuk diwujudkan.



PETIKAN DARI BUKU : LA TAHZAN

21.3.11

Isu Bible Berbahasa Melayu

Isu Bible Berbahasa Melayu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Suci daripada sekalian kelemahan. Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Nabi Muhammad Rasul yang diutuskan kepada sekalian alam, seluruh ahli keluarga Baginda dan sekalian para Sahabat Baginda.

PEMBELA, sebagai sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan antaranya termasuk MUAFAKAT, ABIM, PKPIM, ISMA, RICOI, PUMPP, MACMA dan pertubuhan-pertubuhan lain yang mewakili suara majoriti umat Islam di tanahair, ingin mengingatkan pemimpin politik, agama dan masyarakat awam umumnya dalam pelbagai aliran dan anutan supaya menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanapun, peruntukan khas buat Agama Islam selama ini tidak pernah menjejaskan para penganut agama bukan Islam untuk mengamalkan mahupun menghayati amalan agama-agama mereka sesuai dengan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan. Penghakisan kefahaman dan semangat ini akan turut menghakis kestabilan dan keutuhan negara yang berbilang kaum dan agama yang mampu menikmati pembangunan dan keamanan sejak Kemerdekaan hingga ke hari ini.

Sehubungan dengan itu, PEMBELA ingin menegaskan dan menasihatkan para pemimpin politik dan agama supaya tidak memperalatkan isu-isu keagamaan bagi memenuhi agenda politik dan agama masing-masing. Pelbagai usaha, khususnya menjelang pilihanraya kecil dan pilihanraya Sarawak yang jelas akan menerbitkan provokasi agama dengan tujuan politik sebenarnya hanya akan mengundang padah kepada kestabilan dan keutuhan negara. Provokasi di dalam hal-hal berkaitan sensitiviti keagamaan dan tindakan-tindakan tersebut memungkinkan reaksi yang keterlaluan dan emosional dari pihak penganut Islam mahupun yang bukan Islam.

Dalam konteks isu berkaitan dengan perlepasan Bible Berbahasa Melayu seperti juga isu-isu yang bersamaan dengannya iaitu isu penggunaan kalimah Allah haruslah diselesaikan di luar dari percaturan yang membawa kepada sentimen agama, sensasi media massa mahupun kepentingan politik. Isu agama sama sekali tidak harus menjadi bidaan di dalam waktu pilihanraya khususnya di dalam konteks Islam yang mempercayai kepercayaan agama adalah milik Allah dan bukan atas dasar toleransi politik mahupun suara ramai. Kami berpandangan bahawa, persoalan yang lebih mendasar dalam soal pelepasan Bible Berbahasa Melayu ini ialah penggunaan istilah-istilah khusus dalam aqidah Islam kepada makna-makna dalam agama Kristian yang boleh mengubah makna istilah-istilah itu serta mengelirukan masyarakat.

Bagi mengelakkan provokasi yang berterusan dan kekeliruan terhadap mana-mana agama maka PEMBELA menggesa pemimpin politik dan agama supaya bersikap lebih matang dan berwibawa di dalam menyampaikan tuntutan masing-masing. Misalnya kami berasa sangat kesal membaca kenyataan-kenyataan bernada angkuh dan kasar pimpinan CFM dan MCA terhadap tawaran bersyarat daripada pihak kerajaan yang kami kira sudahpun merupakan suatu langkah kompromi. Sikap sebegini adalah tidak patriotik dan sangat tidak sihat bagi keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita. PEMBELA berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu bertegas terhadap mana-mana pihak yang terlalu provokatif dalam isu-isu seumpama ini dan perlu memastikan keharmonian di antara kaum yang dikecapi selama ini tidak terjejas hanya kerana tuntutan sempit dan tindakan liar pihak-pihak tertentu.

Semoga Allah SWT memberi keberanian dan kekuatan untuk memilih sikap yang terbaik dan sentiasa mengurniakan kemakmuran dan kesentosaan kepada negara yang kita cintai ini.

Sumber : http://membelaislam.wordpress.com/

10.10.10

ALIRAN PEMIKIRAN LIBERAL


HUKUM DAN IMPLIKASINYA KEPADA ISLAM DI MALAYSIA

Tatapan untuk anak-anak didik ku, calon-calon STPM SMKA FALAHIAH.

Usuluddin Kertas 1- Ilmu Tauhid - Penyelewengan Akidah: Pemikiran Semasa (Liberalisme)

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.


c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul alHadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Sumber:

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/aliran-pemikiran-liberal-hukum-dan-implikasinya-kepada-islam-di-malaysia

6.10.10

AMALAN DOA TANGKIS KEJAHATAN


DOA JIBRIL

Doa yang di ajar oleh Jibril a.s kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam perjalananan Isra' Mi'raj ketika Baginda Nabi Muhammad SAW di kejar dan di buru oleh jin Ifrit yang membawa obor api.. Setelah di baca oleh Nabi doa tersebut, jin Ifrit jatuh tersungkur ke bumi dan terbakar....... Marilah sama-sama kita mengamalkannya.........

Maksudnya:
Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, yang tidak boleh mengatasinya oleh orang yang baik dan juga orang jahat, daripada kejahatan makhluk yang diciptakanNya dan dijadikanNya dan di wujudkanNya, juga daripada kejahatan sesuatu yang turun dari langit, daripada kejahatan sesuatu yang naik ke langit, daripada kejahatan makhluk yang diciptakan di bumi, daripada kejahatan sesuatu yang keluar daripadanya, daripada kejahatan fitnah malam dan siang dan kejahatan yang berlaku di waktu malam dan di siang hari, melainkan sesuatu yang datang membawa kebaikan, Wahai Zat Yang Maha Mengasihani.

27.9.10

AL-FATIHAH BUAT ABAH



Buat semua yang mengikuti blog ini, sama-samalah kita membaca surah al-fatihah dan sedekahkan pahala bacaan itu buat AYAHANDA HAJI SALEH @ MAT SALLEH BIN BESAR (05/01/1940 - 23/09/2010) yang telah kembali ke rahmatullah pada 23/9/2010.

Al-Fatihah

12.8.10

QIAM! QIAM! QIAM!


Allah SWT Yang Maha Mulia berfirman dalam surah al-Israa` ayat 79 yang kira-kira bererti:- "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu - pada hari akhirat - ditempat yang terpuji."

Menghidupkan malam dengan ibadah adalah satu anjuran. Ianya juga suatu riyadhah dan mujahadah yang bermanfaat dalam menguatkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta Mulia Raya. Maha Pencipta telah menjanjikan berbagai anugerah berupa rahmat, keredhaan, diterima segala pinta, ganjaran yang berganda-ganda bagi hamba yang ikhlas menjalankan ibadah malam tersebut tatkala manusia sedang seroooooonnnnnoooooooookkkkkkkkkkkk tidur atas kasur yang empuk. Masa kembali sudah semakin hampir, masihkah kita hendak menghabiskan masa yang masih berbaki dengan membuta sepanjang malam. Belumkah sampai masanya bagi kita untuk menghidupkan malam kita berkhalwat dan bertaqarrub dengan Allah SWT? Kalau tidak sekarang, bila lagi wahai roh dan jasad? Adakah hendak menunggu berpisah antara roh dan jasad, baru sibuk menangisi kerugian yang sudah pasti. ...Allahu .. Allah.

Abu asy-Syaikh dan Ibnu Hibban menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:- "Satu sholat di masjidku menyamai (ganjaran) 10,000 sholat; satu sholat di Masjidil Haram menyamai 100,000 sholat; satu sholat di ribath (perbatasan atau medan perang yang memisahkan antara kaum muslimin dan pihak musuh) menyamai 2,000,000 sholat; dan yang lebih banyak pahala daripada yang sedemikian itu adalah pahala 2 rakaat yang dilakukan seseorang hamba pada pertengahan malam."

Allahu ... Allah, adil dan pemurahnya Allah. RahmatNya sungguh amat meratai sekalian umat, bukan hanya terbatas kepada penduduk dua tanah yang mulia sahaja. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan meraih pahala yang lumayan ini.