Isu Bible Berbahasa Melayu
Dengan  Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji Bagi  Allah, Tuhan Yang Maha Suci daripada sekalian kelemahan. Selawat dan  Salam Ke Atas Junjungan Nabi Muhammad Rasul yang diutuskan kepada  sekalian alam, seluruh ahli keluarga Baginda dan sekalian para Sahabat  Baginda. 
PEMBELA,  sebagai sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan  antaranya termasuk MUAFAKAT, ABIM, PKPIM, ISMA, RICOI, PUMPP, MACMA dan  pertubuhan-pertubuhan lain yang mewakili suara majoriti umat Islam di  tanahair, ingin mengingatkan pemimpin politik, agama dan masyarakat awam  umumnya dalam pelbagai aliran dan anutan supaya menghormati kedudukan  Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam  Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanapun, peruntukan khas buat Agama  Islam selama ini tidak pernah menjejaskan para penganut agama bukan  Islam untuk mengamalkan mahupun menghayati amalan agama-agama mereka  sesuai dengan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan.  Penghakisan kefahaman dan semangat ini akan turut menghakis kestabilan  dan keutuhan negara yang berbilang kaum dan agama yang mampu menikmati  pembangunan dan keamanan sejak Kemerdekaan hingga ke hari ini.
Sehubungan  dengan itu, PEMBELA ingin menegaskan dan menasihatkan para pemimpin  politik dan agama supaya tidak memperalatkan isu-isu keagamaan bagi  memenuhi agenda politik dan agama masing-masing. Pelbagai usaha,  khususnya menjelang pilihanraya kecil dan pilihanraya Sarawak yang jelas  akan menerbitkan provokasi agama dengan tujuan politik sebenarnya hanya  akan mengundang padah kepada kestabilan dan keutuhan negara. Provokasi  di dalam hal-hal berkaitan sensitiviti keagamaan dan tindakan-tindakan  tersebut memungkinkan reaksi yang keterlaluan dan emosional dari pihak  penganut Islam mahupun yang bukan Islam.
Dalam  konteks isu berkaitan dengan perlepasan Bible Berbahasa Melayu seperti  juga isu-isu yang bersamaan dengannya iaitu isu penggunaan kalimah Allah  haruslah diselesaikan di luar dari percaturan yang membawa kepada  sentimen agama, sensasi media massa mahupun kepentingan politik. Isu  agama sama sekali tidak harus menjadi bidaan di dalam waktu pilihanraya  khususnya di dalam konteks Islam yang mempercayai kepercayaan agama  adalah milik Allah dan bukan atas dasar toleransi politik mahupun suara  ramai. Kami berpandangan bahawa, persoalan yang lebih mendasar dalam  soal pelepasan Bible Berbahasa Melayu ini ialah penggunaan  istilah-istilah khusus dalam aqidah Islam kepada makna-makna dalam agama  Kristian yang boleh mengubah makna istilah-istilah itu serta  mengelirukan masyarakat. 
Bagi  mengelakkan provokasi yang berterusan dan kekeliruan terhadap mana-mana  agama maka PEMBELA menggesa pemimpin politik dan agama supaya bersikap  lebih matang dan berwibawa di dalam menyampaikan tuntutan masing-masing.  Misalnya kami berasa sangat kesal membaca kenyataan-kenyataan bernada  angkuh dan kasar pimpinan CFM dan MCA terhadap tawaran bersyarat  daripada pihak kerajaan yang kami kira sudahpun merupakan suatu langkah  kompromi. Sikap sebegini adalah tidak patriotik dan sangat tidak sihat  bagi keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita. PEMBELA  berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu bertegas terhadap mana-mana  pihak yang terlalu provokatif dalam isu-isu seumpama ini dan perlu  memastikan keharmonian di antara kaum yang dikecapi selama ini tidak  terjejas hanya kerana tuntutan sempit dan tindakan liar pihak-pihak  tertentu.
Semoga  Allah SWT memberi keberanian dan kekuatan untuk memilih sikap yang  terbaik dan sentiasa mengurniakan kemakmuran dan kesentosaan kepada  negara yang kita cintai ini.
Sumber : http://membelaislam.wordpress.com/