Halaman

23.11.09

HAJI: HUTANG ATAU TUNAI


KHUTBAH JUMAAT - 20/11/2009


Ustaz menyampaikan khutbah di Masjid Haji Omar, Mukim Bechah Semak.




Ikwani Muslimin,


Salah satu daripada rukun islam yang perlu di yakini dan perlu dilaksanakan bagi setiap orang mukmin ialah menunaikan fardu haji ke tanah suci Makkah al Mukarramah.


Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitul Allah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya... (Al-Imran:97)


Kalimah sesiapa yang mampu merangkumi antaranya kesihatan dan kewangan.


Orang yang mampu ketanah suci Mekah dengan wang tunai yang mencukupi adalah yang paling afdhal, namun dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini tentulah ada kesan positif kepada mereka yang bercita-cita ingin menunaikan haji ketika di usia muda.


Dengan demikian kepada mereka yang sangat teringin bagi menunaikan ibadah haji tidaklah menjadi kesalahan untuk berikhtiar mendapatkan dahulu sumber kewangan dari institusi-institusi yang dijamin kerajaan serta mengikut lunas-lunas islam.


Muzakarah Fatwa kali ke 69 mengsahkan keharusan menunaikan ibadah haji (yang wajib) dan umrah.


Walau pun begitu hutang yang dibuat dengan institusi kewangan wajiblah di bayar setelah pulang dari Tanah Suci.


Kepada yang tidak berkemampuan dari segenap segi, maka kewajipan menunaikan haji dikalangan mereka telah gugur dan mereka tidak boleh mengambil hutang dari institusi kewangan untuk menunaikan haji.


Kalaulah kita berhutang demi untuk melancong ke tempat-tempat lain, adalah terlebih baik jika kita berhutang untuk menunaikan ibadah haji.


Kalau kita berhutang untuk membeli barangan kemewahan, keperluan mengerjakan haji jauh lebih mulia untuk mendekatkan diri kepada Allah dari soal kemewahan itu.


Renung-renung kan lah.........kepada yang belum menunaikan haji (wajib).


18.11.09

PENGENALAN ILMU TAUHID

Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid

Perkataan ' Mabadi ' itu bahasa Arab jama' daripada perkataan mabda' Bererti : Punca , mula terbit .
Maksudnya keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga Pembukaan sesuatu ilmu. Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :
1) Nama ilmu ini : Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu 'Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya : Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadith.

3) Kandungannya : Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allah dan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I'ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan tersebut.

4) Tempat bahasannya ( Maudhu'nya )kepada empat tempat :

Pertama : Pada zat Allah Ta'ala dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.
Kedua : Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padanya.
Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.
Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari Qiamat.

5) Faedah Ilmu Tauhid : Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain :Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan : Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta'ala ialah nabi Adam a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.

8) Hukumnya :Iaitu fardhu A'in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .

9) Kelebihannya : Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya."
( Riwayat Hakim )

10) Kesudahan ilmu ini : Iaitu dapat membezakan di antara 'aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.

12.11.09

TAUHID


AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Kepada para pelajar semua,

Fahamilah ilmu tauhid ini agar dapat dijadikan petunjuk dan panduan dalam mengenal ilmu tauhid yang sebenar.

Ustaz Mohd Zahrin Bin Hj Saleh
Pembimbing Usuluddin
SMKA FALAHIAH
..................................................................

Allah Taala berfirman dalam surah al-Hadid ayat 3:

هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَئٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dialah Yang Awal (tiada permulaan) dan Yang Akhir (tiada penghabisan) dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu”.

Sebagai seorang yang beriman yang mempunyai akal yang sempurna, ayat di atas akan dijadikan sebagai dalil yang menunjukkan kejadian sekalian makhluk dan keunikan ciptaan alam semesta sebagai bukti adanya ‘pencipta’ yang Esa yang mempunyai sifat yang penuh dengan kesempurnaan dengan kekuatan, kekuasaan, kehendak-Nya dan juga kebesaran-Nya. Kita juga memahami bahawasanya Allah menciptakan sesuatu daripada tiada menjadi ada iaitu wujud. Dia bersifat dengan sifat kesempurnaan yang layak bagi-Nya, sama sekali tidak sama seperti sifat makhluk yang mempunyai banyak kekurangannya.

Sebagai manusia Allah menjadikan kepada kita sifat ilmu, satu sifat yang mulia akan tetapi sifat ilmu kita terhad dan terbatas. Kita tidak boleh mengetahui semua perkara. Allah juga mencipta kekuatan kepada kita tetapi dengan kekuatan yang kita ada masih tak mampu melakukan semua perkara, ianya masih terbatas. Begitulah juga dengan kehendak kita turut juga bersifat makhluk yang sentiasa berubah-ubah tidak tetap dan senantiasa berganti-ganti.Adapun Allah sesungguhnya Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi ke atas-Nya melainkan Dia juga mengetahuinya. Allah berkuasa melakukan apa sahaja dari setiap sesuatu dan tidak ada sesuatu pun yang boleh menghalang-Nya.

Kita juga wajib meyakini bahawa tidak ada sesuatu yang berlaku di alam ini melainkan dengan kehendak Allah, dan kehendak Allah adalah tidak berubah-ubah dan berganti-ganti. Allah berfirman lagi dalam surah at-Takwiir ayat 29:


وَمَا تَشَاءُوْنَ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ اللهُ رَبُّ العَالَمِينَ


Maksudnya: “dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang ditentukan dan dikehendaki oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam”.

Allah Taala wujud dan tidak ada permulaan pada kewujudan-Nya. Ini difahami dari ayat “هو الأول”. Iaitu Dialah yang wujud tidak ada permulaan.

Cerita Tentang Permulaan Makhluk

Satu rombongan dari negara Yaman telah datang bertemu dengan Rasulullah dan bertanyakan kepada baginda: “wahai Rasulullah kami datang untuk mendalami ilmu dalam agama dan ceritakanlah kepada kami permulaan sesuatu perkara”. Rasulullah menjawab: “adalah Allah itu ada dan tidak ada sesuatu bersamanya”. [H.R Bukhari]


Sesungguhnya Rasulullah telah menjawab pertanyaan mereka bahawasanya Allah tidak ada permulaan pada kewujudan-Nya iaitu ‘azali’ dan tiada ada yang azali selain Allah. Dengan perkataan lain pada azal tidak ada lain kecuali Allah sahaja. Dan Allah yang mencipta setiap segala yang sesuatu. Dan makna Allah mencipta setiap segala sesuatu ialah Allah mencipta semua makhluk daripada tiada kepada ada.

Allah Taala juga hidup dan tidak mati. Tidak ada penghujung pada kewujudan-Nya, Dia tidak akan hilang atau binasa kerana setiap sesuatu yang boleh hilang dan binasa adalah makhluk iaitu mempunyai permulaan. Firman Allah “هو الأول و الآخر” makna ‘akhir’ ialah Dia kekal tidak binasa dan tidak juga mati. Adalah salah memahami makna ‘akhir’ dengan makna penghujung atau berakhir kewujudan-Nya selepas berakhirnya kewujudan semua makhluk, fahaman seperti ini adalah salah dan maha suci Allah dari bersifat sedemikian.

Dan makna “والظاهر” ialah setiap sesuatu yang ada menunjukkan pada akal kita akan kewujuda-Nya. Maka secara mudahnya kita akan berkata wujudnya sekalian makhluk telah menunjukkan kepada wujudnya Allah yang Esa.

Pepatah arab ada mengatakan:

فَيَا عَجَبًا كَيْفَ يُعْصَى الأِله أَمْ كَيْفَ يَجْحَدُهُ جَاحِدُوَفِي كُلِّ شَئٍ لَهُ آيَةٌ تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ وَاحِدُ

Ertinya: “alangkah peliknya bagaimana seorang itu boleh mengingkari tuhannya atau bagaimana dia boleh menafikan akan adaNya, kerana pada setiap sesuatu dari makhluk telah menjadi bukti akan adanya Dia yang Esa.”.

Allah berfirman dalam surah Qaaf ayat 6:

أَفَلَمْ يَنْظُرُوْا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُم كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوْج


Maksudnya: “Maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka dengan tidak bertiang. Bagaimana Kami membinanya dengan rapi serta Kami menghiasinya dengan bintang-bintang dan dengan keadaan tidak ada padanya retak renggang”.

Jika kita renungkan alam ini kita akan dapati ianya seperti sebuah rumah yang di bina dengan rapi dilengkapi setiap sudut dengan keperluannya. Kita akan dapati langit yang terangkat itu seperti bumbung dan bumi yang tehampar ini bagaikan lantai, manakala bintang yang terapung-apung itu bagaikan lampu dan pelita, dan jika renungkan lagi kepada yang lebih mendalam dari tu iaitu pada diri kita nescaya kita akan dapati kesempurnaan dan keajaiban yang unggul tentang ciptaan Allah.

Begitu juga jika kita lihat pada bumi ini dan cubalah kita renungkan lagi apa yang tercipta di atasnya daripada bukit dan bukau yang tegak kukuh, laut-lautan yang luas, sungai-sungai yang mengalir. Lihat juga pada kebesarannya seperti besarnya matahari, bintang dan bulan telah menerangkan bumi dan langit dengan cahayanya . Adakah ini tidak lagi cukup menunjukkan kepada kekuasan-Nya? Adakah ini bukan bukti kepada kewujudan-Nya? Sudah tentu ianya menjadi bukti yang nyata kepada kebesaran dan kewujudan-Nya. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menafi dan menolak kebenaranya. Orang yang mengingkarinya membuktikan dia telah menolak dalil yang nyata dari akal, yang Allah jadikan kepadanya untuk membezakan dengan yang hak dan batil.

Makna kalimah "والباطن" pula ialah, Allah taala kita tidak boleh melontarkan padanya anggapan pada fikiran kita bagaimana zatNya, fikiran yang ada pada kita tidak akan sampai pada kita zat Allah kerana zat Allah tidak sama dengan zat kita. Allah tidak sama dengan makhluk-Nya dan sifat-sifat Allah juga tidak sama dengan sifat-sifat makhluk tidak juga kita boleh sifat dan gambar Allah dengan bentuk, rupa, panjang, pendek, depa ataupun warna kerana semua sifat ini adalah sifat-sifat makhluk dan Allah telah tegaskan dalam al-Quran Dia tak sama dengan sekalian makhluk.

Inilah yang perlu kita iktikadnya dalam akidah kita, dan inilah akidah yang haqqah (akidah sebenar) yang dianuti oleh salafussoleh. Setiap Iktikad yang ada menyamakan sifat dengan sifat makhluk membawa kepada murtad. Seperti orang yang menyatakan Allah itu berjisim, atau Allah itu mempunyai warna, maha suci Allah dari sifat sedemikian. Allah yang mencipta jisim dan mencipta warna bentuk dan maha suci Allah dari bersifat seperti sifat mahkluk-Nya.


sumber: http://syafiee.blogspot.com

9.11.09

SIRI KULIAH 8/11/09

TAFSIR NUR IHSAN

SURAH AL-BAQARAH:74


Kemudian sesudah itu hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga diantaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

Banyak nikmat-nikmat yang Allah telah beri kepada Bani Israil seperti makanan Manna Wa Salwa, diselamatkan daripada Firaun, keluar air dari celahan batu dan sebagainya, namun mereka tetap ingkar kepada Allah SWT dan juga ingkar kepada Nabi Musa AS. Kerana hati mereka telah pun keras..... keras seperti batu atau lebih keras lagi....

Ini yang kita selaku umat Muhammad perlu muhasabah... adakah hati kita juga keras untuk mematuhi perintah Allah SWT, payah untuk mentaati arahan agama, berdolak dalik untuk melaksanakan hukum Islam dan menjauhi tegahan serta larangan agama.

Ingat, kalau Allah SWT mampu menghukum Bani Israil umat Nabi Musa AS pastinya Allah yang sama mampu untuk menghukum kita umat Muhammmad SAW disebabkan kita "keras hati" bagi melakukan, mengerjakan dan melaksanakan hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran.

Marilah kita mohon, kita pinta, kita berdoa agar hidayah Allah dilimpahkan kepada kita semua...... dan hiduplah kita dengan hidayah..... HIDAYAH KOMPAS KEHIDUPAN

3.11.09

RESPON KES DR.ASRI

Respon/Kenyataan Media PGSM-NGOs terhadap kenyataan akhbar Dr. Asri Nov 2nd, 2009 By webmaster Category: Kenyataan Media, Utama
Kenyataan Media

Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM

Ahad, 1 November 2009



Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr.Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut :-

Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.

Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.

Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.

Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.

Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.

Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.

Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.


Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.


Ditandatangani oleh :



……………t.t..………………….
MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini :-

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajat Islam Malaysia (PKPIM)
Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Yayasan Jenderami
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Yayasan Paksi Kedah
Persatuan Ulamak Kedah
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
Institut Pengajian Tradisional Islam
Khalifah Institut.

2.11.09

HIDAYAH

HIDAYAH ILAHI


ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH TAUFIK BUKAN SAHAJA MUDAH MELAKUKAN KETAATAN, BAHKAN MENDAPAT KEMANISAN HASIL KETAATANNYA ITU. SOLAT DIRASAKAN MANIS DAN ASYIK. TERASA BAGAI KEKASIH BERCANDA DENGAN KEKASIH. TIDAK TERASA MASA BERLALU, JIWA RASA TENANG DAN TENTERAM.

Nukilan: ummuiman@blogspot.com