Ke Syurga Bukan Dengan Jantina
“Kamu mahu bercinta dengan seorang Muslim?” ibu Jane menyoal anaknya.
Jane hanya mendiamkan diri.
“Kamu tahu kamu itu lebih mungkin menjadi ahli Neraka. Itu nilai perempuan di dalam agama Syamil (Islam)!” tambah si ibu lagi.
Jane tertekan.
Beliau mengatur pertemuan dengan saya untuk bertanyakan hal ini.
“Benarkah ada hadith yang menyebut bahawa perempuan lebih ramai di Neraka?” tanya Jane. Jujur mahu tahu.
Permintaan Jane itu saya bawakan kepada menelusi sebuah hadith di dalam Sahih al-Bukhari, hadith ke-29:
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “œmereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Hadith ini ditempatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Kitab al-Iman di bawah suatu bab yang diberi tajuk “Bab Kufur Kepada Suami, dan Kufur Yang Bukan Kufur.
“Hadith ini sering disalah anggap. Ia dijadikan hujah oleh golongan yang skeptik dengan Islam, bahawa Islam merendahkan taraf wanita,” saya memulakan penjelasan.
“Tetapi Muslim pun ramai yang percaya begitu!” kata Jane.
“Benar. Muslim yang terlupa bahawa asas agamanya adalah ilmu dan kefahaman. Mereka menjadi tukang angguk kepada Islamophobia!” saya berpandangan.
“Hadith berkenaan bercakap tentang kecenderungan sikap kaum wanita. Sabdaan itu menyuluh tabiat wanita yang mudah terjerumus kepada perbuatan mengingkari kebaikan dan Ihsan suaminya, hanya disebabkan oleh satu kekurangan. Perbuatan ini dikaitkan dengan kufur kerana di dalam hadith yang lain, perintah agar wanita menghormati suami digambarkan beriringan dengan perintah sujud kepada Allah,” saya menyambung perbualan.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Kalaulah aku dibenarkan memerintah seseorang sujud kepada seorang yang lain, nescaya akan kuperintahkan perempuan sujud kepada suaminya“ [riwayat at-Tirmidhi dan lain-lain]
Dalam erti kata yang lain, hak suami ke atas isteri dipadankan dengan hak Allah. Kerana itulah, mengingkari hak suami, diistilahkan sebagai kufur. Namun, kufur ini bukanlah kufur yang membatalkan iman. Bahkan ia termasuk di dalam kufur “kecil” yang bersifat menafikan nikmat.
Perkaitan hadith ini dengan wanita adalah kaedah al-Quran dan as-Sunnah yang mewatakkan perilaku sesuatu perbuatan dengan pelakunya yang lazim. Misalnya di dalam surah an-Maidah ayat 39, Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut tentang hukum hudud ke atas pesalah kes curi dengan firman-Nya:
“Dan pencuri lelaki serta pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan-tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan, (dan hukuman itu bertindak sebagai) cegahan dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Bijaksana”
Manakala di dalam kes zina, Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut di dalam surah an-Noor ayat 2:
“Penzina perempuan dan lelaki hendaklah disebat setiap seorang mereka itu dengan 100 sebatan”
Mendahulukan penjenayah wanita atau lelaki di dalam kes salah laku mereka disebut di dalam kedua-dua ayat tadi mengikut kelaziman yang biasanya ditemui dalam masyarakat. Amat kerap kecurian itu didalangi oleh penjenayah lelaki dan amat sering zina itu bermula dari seorang perempuan. Namun yang difokuskan di dalam ayat itu adalah kedua-duanya beroleh hukuman yang sama.
Maka hadith Rasulullah SAW tentang wanita itu tadi, menyebut bahawa wanita akan masuk ke neraka seandainya mereka mencela suami dan mengingkari kebaikan suami kepadanya, bukannya kerana wanita itu wanita. Maka di manakah letaknya aspek penindasan di dalam kenyataan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu? Sedangkan apa yang kelihatan adalah ketulusan Islam di dalam mendidik pengikutnya agar telus membuat muhasabah terhadap salah laku diri. Buruk tingkah laku, buruklah akibatnya. Elok tingkah laku, baiklah kesudahannya. Maka soal iman dan amal itu yang disuluh, bukannya jantina.
Allah Subhanahu wa Ta’aala telah pun bertegas di dalam al-Quran:
“Sesungguhnya orang lelaki dan perempuan yang Islam, orang lelaki dan perempuan yang beriman, orang lelaki dan perempuan yang taat, orang lelaki dan perempuan yang benar, orang lelaki dan perempuan yang sabar, orang lelaki dan perempuan yang merendahkan dirinya (kepada Allah), orang lelaki dan perempuan yang bersedekah, orang lelaki dan perempuan yang berpuasa, orang lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatan dirinya serta orang lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, maka Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang agung” [Al-Ahzab 33: 36]
Ayat ini turun sebagai wahyu dan menjadi prinsip Islam di zaman wanita menjadi sampah di Eropah. Islam memuliakan wanita dengan jaminan Allah dan undang-undangNya. Ia telah terpahat lebih seribu tahun sebelum wanita di England berjaya beroleh hak berjual beli dan memiliki harta sendiri bahkan lebih seribu tahun sebelum wanita di India terselamat dari dibakar bersama suaminya yang mati.
Sesungguhnya isu penindasan kaum wanita bukan isu umat Islam. Ia adalah isu masyarakat Timur dan Barat yang zaman berzaman meletakkan wanita di gelanggang yang zalim. Di zaman purba mereka melihat wanita dengan jijik dan keji manakala di zaman moden hari ini, mereka menjadikan wanita hanya sebagai bahan iklan melakukan produk. Dulu mereka memandang keji kepada wanita, hari ini mereka menghina taraf wanita. Itulah status wanita pada masyarakat yang jauh dari hidayah Allah. Sewajarnya mereka terpaksa bermati-matian untuk beroleh satu bahagian sosial.
Namun Islam adalah agama emansipasi wanita dari status sedemikian rupa. Jika ada penindasan terpencil seperti budaya kahwin paksa ke atas wanita di sesetengah negara umat Islam, atau khitan wanita yang kejam seperti di Sudan, ia adalah perilaku yang berpunca dari adat yang menyalahi Islam. Bukan prinsip Islam yang mengajar wanita dilayan begitu.
“Demi Allah, dengan rahmat dan pilihanNya, lelaki dan perempuan akan masuk ke syurga berdasarkan iman dan amal mereka, bukannya dengan jantina. Bukan juga dengan hanya bersenang lenang dengan status Islam mereka!” saya menyudahkan perbualan.
“Sukarnya dibezakan antara Islam sebenar dengan Islam yang bercampur aduk dengan adat pengikutnya” simpul Jane.
“Kita ada rujukan. Itu kemuktamadannya” saya tersenyum.
Mahu Jane pulang dengan keyakinan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
p/s: Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan