Halaman

25.12.09

HIJRAH 1431





MAAL HIJRAH


* Mencapai kerahmatan dan keredhaan Allah SWT *

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadaNya dan keredhaan serta syurga. Mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar.

(at-Taubah: 20 - 22)

IKTIBAR HIJRAH MUHAMMAD SAW

Keimanan dan kepatuhan kepada yang Maha Pencipta

Hijrah ialah perintah Allah SWT demi menegakkan agamaNya. Kesanggupan untuk berhijrah dengan penuh kesabaran dan pengorbanan ialah lambang keimanan dan kepatuhan yang jitu kepada Allah SWT.



Perjuangan dan pengorbanan ; ikhlas, tabah dan sabar.


Golongan Muhajirin disifatkan sebagai orang-orang yang sanggup berjihad, tabah dan sabar kerana mencari keredhaan Allah SWT. Mereka sanggup berkorban apa sahaja termasuk meninggalkan tanah air dan harta benda serta berkorban nyawa kerana cinta kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya.

“(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah yang telah diusir dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam) untuk mencari limpah kurnia daripada Allah dan keredhaanNya serta menolong agama Allah dan rasulNya, mereka itulah orang-orang yang benar ( imannya dan amalnya)”.(Al-Hasyr: 8)




Persaudaraan dan Kesetiaan dalam perhubungan


Terbinanya ikatan persaudaraan yang erat di antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar sehingga lebih kuat daripada ikatan keturunan darah dan kesetiaan seorang sahabat dalam menemani Rasulullah SAW ketika berhijrah telah membawa kejayaan kepada misi Hijrah.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua orang (yang bertelingkah itu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah al-Hujurat: 10)

Kebijaksanaan dan muafakat dalam perancangan,

Kebijaksanaan dalam penyusunan strategi dan penggunaan tipu helah yang berkesan serta penggabungan tenaga yang kolektif daripada lelaki, wanita, belia dan remaja juga membawa kejayaan dalam misi Hijrah Rasulullah SAW. Antara yang terlibat ialah: Asma’ binti Abu Bakar sebagai pembekal makanan ketika bersembunyi di gua Thur’, Abdullah bin Abu Bakar sebagai pengintip kepada pergerakan Quraisy, Amir bin Fuhairah sebagai pembekal susu (minuman) dan bertanggungjawab menghapuskan kesan tapak kaki, Abdullah bin Uraiqat sebagai penunjuk jalan rahsia menuju ke Madinah dan Ali bin Abi Talib sebagai pengganti Rasulullah SAW di tempat tidur.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”. (Surah al-Maidah: 2)



Kemuncak pergantungan dan sandaran urusan hanya kepada Allah SWT .

Penyusunan perancangan strategik dan penggunaan tipu helah oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq dalam misi hijrah menunjukkan kepada kepentingan usaha dan ikhtiar dalam mencapai kejayaan. Walau bagaimana pun, segala urusan diserahkan pergantungan dan sandaran kepada Allah SWT. Berkata Rasulullah SAW kepada Abu Bakar as-Sidiq ketika bersembunyi di gua Thur' dan orang-orang musyrikin pula merayau-rayau di sekeliling gua bertujuan menenangkan hati dan menghilangkan perasaan takut sahabatnya : “Apakah perasaan kamu bahawa Allah ada bersama-sama kita?”



“ Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah mesyuarat untuk berbuat sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya”. (Surah Ali Imran: 159)






HIJRAH MASA KINI




Maal Hijrah bukan sekadar tradisi tetapi menuntut kepada penghayatan sepenuhnya oleh umat Nabi Muhammad SAW. Mungkin ‘hijrah’ sebagaimana hijrah Nabi Muhammad SAW tidak berlaku pada hari ini tapi roh dan semangat hijrah sentiasa berterusan sebagai pemangkin kepada kejayaan umat Islam seluruhnya. Sabda Rasululah SAW yang bermaksud:
“Hijrah tidak berakhir sehinggalah berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat”. (Riwayat Abu Daud)

a) Hijrah dalam bentuk perpindahan
Umat Islam dituntut untuk berhijrah kerana mencari ilmu, mencari rezeki dan pekerjaan serta mencari tempat kediaman yang lebih sesuai, aman dan tidak mengancam keselamatan. Kemuncak kepada pencarian ini pula ialah untuk menghayati dan membela agama Allah.

b) Hijrah dalam bentuk meninggalkan larangan
Umat Islam dituntut untuk meninggalkan larangan Allah atau perbuatan maksiat yang merupakan agenda syaitan untuk menyesatkan manusia kecuali bagi orang-orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda:

المهاجر من هجر ما نهى الله عنه
Maksudnya:
“Orang-orang yang berhijrah ialah sesiapa yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah melakukannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Dunia hanya persinggahan sementara dalam perjalanan menuju ke akhirat yang kekal abadi.

c) Hijrah dalam bentuk perubahan sikap
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:
ž
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”.


Sikap mempengaruhi seseorang dalam menentukan kejayaan atau kegagalan dalam kehidupan. Memilih untuk mengubah sikap daripada negatif kepada positif dalam meletakkan diri kita pada kedudukan yang mulia juga adalah hijrah. Hakikatnya, Islam bukan penyebab kepada kemunduran dan kehinaan umatnya tetapi disebabkan oleh sikap umatnya sendiri yang kini banyak didominasi oleh sifat-sifat mazmumah atau tercela.

AYUH.... MARI KITA SAMA-SAMA BERUBAH DAN BERHIJRAH








Tiada ulasan:

Catat Ulasan