Halaman

25.12.09

HIJRAH 1431





MAAL HIJRAH


* Mencapai kerahmatan dan keredhaan Allah SWT *

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadaNya dan keredhaan serta syurga. Mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar.

(at-Taubah: 20 - 22)

IKTIBAR HIJRAH MUHAMMAD SAW

Keimanan dan kepatuhan kepada yang Maha Pencipta

Hijrah ialah perintah Allah SWT demi menegakkan agamaNya. Kesanggupan untuk berhijrah dengan penuh kesabaran dan pengorbanan ialah lambang keimanan dan kepatuhan yang jitu kepada Allah SWT.



Perjuangan dan pengorbanan ; ikhlas, tabah dan sabar.


Golongan Muhajirin disifatkan sebagai orang-orang yang sanggup berjihad, tabah dan sabar kerana mencari keredhaan Allah SWT. Mereka sanggup berkorban apa sahaja termasuk meninggalkan tanah air dan harta benda serta berkorban nyawa kerana cinta kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya.

“(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah yang telah diusir dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam) untuk mencari limpah kurnia daripada Allah dan keredhaanNya serta menolong agama Allah dan rasulNya, mereka itulah orang-orang yang benar ( imannya dan amalnya)”.(Al-Hasyr: 8)




Persaudaraan dan Kesetiaan dalam perhubungan


Terbinanya ikatan persaudaraan yang erat di antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar sehingga lebih kuat daripada ikatan keturunan darah dan kesetiaan seorang sahabat dalam menemani Rasulullah SAW ketika berhijrah telah membawa kejayaan kepada misi Hijrah.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua orang (yang bertelingkah itu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah al-Hujurat: 10)

Kebijaksanaan dan muafakat dalam perancangan,

Kebijaksanaan dalam penyusunan strategi dan penggunaan tipu helah yang berkesan serta penggabungan tenaga yang kolektif daripada lelaki, wanita, belia dan remaja juga membawa kejayaan dalam misi Hijrah Rasulullah SAW. Antara yang terlibat ialah: Asma’ binti Abu Bakar sebagai pembekal makanan ketika bersembunyi di gua Thur’, Abdullah bin Abu Bakar sebagai pengintip kepada pergerakan Quraisy, Amir bin Fuhairah sebagai pembekal susu (minuman) dan bertanggungjawab menghapuskan kesan tapak kaki, Abdullah bin Uraiqat sebagai penunjuk jalan rahsia menuju ke Madinah dan Ali bin Abi Talib sebagai pengganti Rasulullah SAW di tempat tidur.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”. (Surah al-Maidah: 2)



Kemuncak pergantungan dan sandaran urusan hanya kepada Allah SWT .

Penyusunan perancangan strategik dan penggunaan tipu helah oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq dalam misi hijrah menunjukkan kepada kepentingan usaha dan ikhtiar dalam mencapai kejayaan. Walau bagaimana pun, segala urusan diserahkan pergantungan dan sandaran kepada Allah SWT. Berkata Rasulullah SAW kepada Abu Bakar as-Sidiq ketika bersembunyi di gua Thur' dan orang-orang musyrikin pula merayau-rayau di sekeliling gua bertujuan menenangkan hati dan menghilangkan perasaan takut sahabatnya : “Apakah perasaan kamu bahawa Allah ada bersama-sama kita?”



“ Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah mesyuarat untuk berbuat sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya”. (Surah Ali Imran: 159)






HIJRAH MASA KINI




Maal Hijrah bukan sekadar tradisi tetapi menuntut kepada penghayatan sepenuhnya oleh umat Nabi Muhammad SAW. Mungkin ‘hijrah’ sebagaimana hijrah Nabi Muhammad SAW tidak berlaku pada hari ini tapi roh dan semangat hijrah sentiasa berterusan sebagai pemangkin kepada kejayaan umat Islam seluruhnya. Sabda Rasululah SAW yang bermaksud:
“Hijrah tidak berakhir sehinggalah berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat”. (Riwayat Abu Daud)

a) Hijrah dalam bentuk perpindahan
Umat Islam dituntut untuk berhijrah kerana mencari ilmu, mencari rezeki dan pekerjaan serta mencari tempat kediaman yang lebih sesuai, aman dan tidak mengancam keselamatan. Kemuncak kepada pencarian ini pula ialah untuk menghayati dan membela agama Allah.

b) Hijrah dalam bentuk meninggalkan larangan
Umat Islam dituntut untuk meninggalkan larangan Allah atau perbuatan maksiat yang merupakan agenda syaitan untuk menyesatkan manusia kecuali bagi orang-orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda:

المهاجر من هجر ما نهى الله عنه
Maksudnya:
“Orang-orang yang berhijrah ialah sesiapa yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah melakukannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Dunia hanya persinggahan sementara dalam perjalanan menuju ke akhirat yang kekal abadi.

c) Hijrah dalam bentuk perubahan sikap
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:
ž
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”.


Sikap mempengaruhi seseorang dalam menentukan kejayaan atau kegagalan dalam kehidupan. Memilih untuk mengubah sikap daripada negatif kepada positif dalam meletakkan diri kita pada kedudukan yang mulia juga adalah hijrah. Hakikatnya, Islam bukan penyebab kepada kemunduran dan kehinaan umatnya tetapi disebabkan oleh sikap umatnya sendiri yang kini banyak didominasi oleh sifat-sifat mazmumah atau tercela.

AYUH.... MARI KITA SAMA-SAMA BERUBAH DAN BERHIJRAH








23.11.09

HAJI: HUTANG ATAU TUNAI


KHUTBAH JUMAAT - 20/11/2009


Ustaz menyampaikan khutbah di Masjid Haji Omar, Mukim Bechah Semak.




Ikwani Muslimin,


Salah satu daripada rukun islam yang perlu di yakini dan perlu dilaksanakan bagi setiap orang mukmin ialah menunaikan fardu haji ke tanah suci Makkah al Mukarramah.


Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitul Allah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya... (Al-Imran:97)


Kalimah sesiapa yang mampu merangkumi antaranya kesihatan dan kewangan.


Orang yang mampu ketanah suci Mekah dengan wang tunai yang mencukupi adalah yang paling afdhal, namun dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini tentulah ada kesan positif kepada mereka yang bercita-cita ingin menunaikan haji ketika di usia muda.


Dengan demikian kepada mereka yang sangat teringin bagi menunaikan ibadah haji tidaklah menjadi kesalahan untuk berikhtiar mendapatkan dahulu sumber kewangan dari institusi-institusi yang dijamin kerajaan serta mengikut lunas-lunas islam.


Muzakarah Fatwa kali ke 69 mengsahkan keharusan menunaikan ibadah haji (yang wajib) dan umrah.


Walau pun begitu hutang yang dibuat dengan institusi kewangan wajiblah di bayar setelah pulang dari Tanah Suci.


Kepada yang tidak berkemampuan dari segenap segi, maka kewajipan menunaikan haji dikalangan mereka telah gugur dan mereka tidak boleh mengambil hutang dari institusi kewangan untuk menunaikan haji.


Kalaulah kita berhutang demi untuk melancong ke tempat-tempat lain, adalah terlebih baik jika kita berhutang untuk menunaikan ibadah haji.


Kalau kita berhutang untuk membeli barangan kemewahan, keperluan mengerjakan haji jauh lebih mulia untuk mendekatkan diri kepada Allah dari soal kemewahan itu.


Renung-renung kan lah.........kepada yang belum menunaikan haji (wajib).


18.11.09

PENGENALAN ILMU TAUHID

Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid

Perkataan ' Mabadi ' itu bahasa Arab jama' daripada perkataan mabda' Bererti : Punca , mula terbit .
Maksudnya keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga Pembukaan sesuatu ilmu. Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :
1) Nama ilmu ini : Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu 'Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya : Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadith.

3) Kandungannya : Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allah dan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I'ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan tersebut.

4) Tempat bahasannya ( Maudhu'nya )kepada empat tempat :

Pertama : Pada zat Allah Ta'ala dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.
Kedua : Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padanya.
Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.
Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari Qiamat.

5) Faedah Ilmu Tauhid : Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain :Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan : Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta'ala ialah nabi Adam a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.

8) Hukumnya :Iaitu fardhu A'in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .

9) Kelebihannya : Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya."
( Riwayat Hakim )

10) Kesudahan ilmu ini : Iaitu dapat membezakan di antara 'aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.

12.11.09

TAUHID


AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Kepada para pelajar semua,

Fahamilah ilmu tauhid ini agar dapat dijadikan petunjuk dan panduan dalam mengenal ilmu tauhid yang sebenar.

Ustaz Mohd Zahrin Bin Hj Saleh
Pembimbing Usuluddin
SMKA FALAHIAH
..................................................................

Allah Taala berfirman dalam surah al-Hadid ayat 3:

هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَئٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dialah Yang Awal (tiada permulaan) dan Yang Akhir (tiada penghabisan) dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu”.

Sebagai seorang yang beriman yang mempunyai akal yang sempurna, ayat di atas akan dijadikan sebagai dalil yang menunjukkan kejadian sekalian makhluk dan keunikan ciptaan alam semesta sebagai bukti adanya ‘pencipta’ yang Esa yang mempunyai sifat yang penuh dengan kesempurnaan dengan kekuatan, kekuasaan, kehendak-Nya dan juga kebesaran-Nya. Kita juga memahami bahawasanya Allah menciptakan sesuatu daripada tiada menjadi ada iaitu wujud. Dia bersifat dengan sifat kesempurnaan yang layak bagi-Nya, sama sekali tidak sama seperti sifat makhluk yang mempunyai banyak kekurangannya.

Sebagai manusia Allah menjadikan kepada kita sifat ilmu, satu sifat yang mulia akan tetapi sifat ilmu kita terhad dan terbatas. Kita tidak boleh mengetahui semua perkara. Allah juga mencipta kekuatan kepada kita tetapi dengan kekuatan yang kita ada masih tak mampu melakukan semua perkara, ianya masih terbatas. Begitulah juga dengan kehendak kita turut juga bersifat makhluk yang sentiasa berubah-ubah tidak tetap dan senantiasa berganti-ganti.Adapun Allah sesungguhnya Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi ke atas-Nya melainkan Dia juga mengetahuinya. Allah berkuasa melakukan apa sahaja dari setiap sesuatu dan tidak ada sesuatu pun yang boleh menghalang-Nya.

Kita juga wajib meyakini bahawa tidak ada sesuatu yang berlaku di alam ini melainkan dengan kehendak Allah, dan kehendak Allah adalah tidak berubah-ubah dan berganti-ganti. Allah berfirman lagi dalam surah at-Takwiir ayat 29:


وَمَا تَشَاءُوْنَ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ اللهُ رَبُّ العَالَمِينَ


Maksudnya: “dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu kecuali dengan cara yang ditentukan dan dikehendaki oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam”.

Allah Taala wujud dan tidak ada permulaan pada kewujudan-Nya. Ini difahami dari ayat “هو الأول”. Iaitu Dialah yang wujud tidak ada permulaan.

Cerita Tentang Permulaan Makhluk

Satu rombongan dari negara Yaman telah datang bertemu dengan Rasulullah dan bertanyakan kepada baginda: “wahai Rasulullah kami datang untuk mendalami ilmu dalam agama dan ceritakanlah kepada kami permulaan sesuatu perkara”. Rasulullah menjawab: “adalah Allah itu ada dan tidak ada sesuatu bersamanya”. [H.R Bukhari]


Sesungguhnya Rasulullah telah menjawab pertanyaan mereka bahawasanya Allah tidak ada permulaan pada kewujudan-Nya iaitu ‘azali’ dan tiada ada yang azali selain Allah. Dengan perkataan lain pada azal tidak ada lain kecuali Allah sahaja. Dan Allah yang mencipta setiap segala yang sesuatu. Dan makna Allah mencipta setiap segala sesuatu ialah Allah mencipta semua makhluk daripada tiada kepada ada.

Allah Taala juga hidup dan tidak mati. Tidak ada penghujung pada kewujudan-Nya, Dia tidak akan hilang atau binasa kerana setiap sesuatu yang boleh hilang dan binasa adalah makhluk iaitu mempunyai permulaan. Firman Allah “هو الأول و الآخر” makna ‘akhir’ ialah Dia kekal tidak binasa dan tidak juga mati. Adalah salah memahami makna ‘akhir’ dengan makna penghujung atau berakhir kewujudan-Nya selepas berakhirnya kewujudan semua makhluk, fahaman seperti ini adalah salah dan maha suci Allah dari bersifat sedemikian.

Dan makna “والظاهر” ialah setiap sesuatu yang ada menunjukkan pada akal kita akan kewujuda-Nya. Maka secara mudahnya kita akan berkata wujudnya sekalian makhluk telah menunjukkan kepada wujudnya Allah yang Esa.

Pepatah arab ada mengatakan:

فَيَا عَجَبًا كَيْفَ يُعْصَى الأِله أَمْ كَيْفَ يَجْحَدُهُ جَاحِدُوَفِي كُلِّ شَئٍ لَهُ آيَةٌ تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ وَاحِدُ

Ertinya: “alangkah peliknya bagaimana seorang itu boleh mengingkari tuhannya atau bagaimana dia boleh menafikan akan adaNya, kerana pada setiap sesuatu dari makhluk telah menjadi bukti akan adanya Dia yang Esa.”.

Allah berfirman dalam surah Qaaf ayat 6:

أَفَلَمْ يَنْظُرُوْا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُم كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوْج


Maksudnya: “Maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka dengan tidak bertiang. Bagaimana Kami membinanya dengan rapi serta Kami menghiasinya dengan bintang-bintang dan dengan keadaan tidak ada padanya retak renggang”.

Jika kita renungkan alam ini kita akan dapati ianya seperti sebuah rumah yang di bina dengan rapi dilengkapi setiap sudut dengan keperluannya. Kita akan dapati langit yang terangkat itu seperti bumbung dan bumi yang tehampar ini bagaikan lantai, manakala bintang yang terapung-apung itu bagaikan lampu dan pelita, dan jika renungkan lagi kepada yang lebih mendalam dari tu iaitu pada diri kita nescaya kita akan dapati kesempurnaan dan keajaiban yang unggul tentang ciptaan Allah.

Begitu juga jika kita lihat pada bumi ini dan cubalah kita renungkan lagi apa yang tercipta di atasnya daripada bukit dan bukau yang tegak kukuh, laut-lautan yang luas, sungai-sungai yang mengalir. Lihat juga pada kebesarannya seperti besarnya matahari, bintang dan bulan telah menerangkan bumi dan langit dengan cahayanya . Adakah ini tidak lagi cukup menunjukkan kepada kekuasan-Nya? Adakah ini bukan bukti kepada kewujudan-Nya? Sudah tentu ianya menjadi bukti yang nyata kepada kebesaran dan kewujudan-Nya. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menafi dan menolak kebenaranya. Orang yang mengingkarinya membuktikan dia telah menolak dalil yang nyata dari akal, yang Allah jadikan kepadanya untuk membezakan dengan yang hak dan batil.

Makna kalimah "والباطن" pula ialah, Allah taala kita tidak boleh melontarkan padanya anggapan pada fikiran kita bagaimana zatNya, fikiran yang ada pada kita tidak akan sampai pada kita zat Allah kerana zat Allah tidak sama dengan zat kita. Allah tidak sama dengan makhluk-Nya dan sifat-sifat Allah juga tidak sama dengan sifat-sifat makhluk tidak juga kita boleh sifat dan gambar Allah dengan bentuk, rupa, panjang, pendek, depa ataupun warna kerana semua sifat ini adalah sifat-sifat makhluk dan Allah telah tegaskan dalam al-Quran Dia tak sama dengan sekalian makhluk.

Inilah yang perlu kita iktikadnya dalam akidah kita, dan inilah akidah yang haqqah (akidah sebenar) yang dianuti oleh salafussoleh. Setiap Iktikad yang ada menyamakan sifat dengan sifat makhluk membawa kepada murtad. Seperti orang yang menyatakan Allah itu berjisim, atau Allah itu mempunyai warna, maha suci Allah dari sifat sedemikian. Allah yang mencipta jisim dan mencipta warna bentuk dan maha suci Allah dari bersifat seperti sifat mahkluk-Nya.


sumber: http://syafiee.blogspot.com

9.11.09

SIRI KULIAH 8/11/09

TAFSIR NUR IHSAN

SURAH AL-BAQARAH:74


Kemudian sesudah itu hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga diantaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

Banyak nikmat-nikmat yang Allah telah beri kepada Bani Israil seperti makanan Manna Wa Salwa, diselamatkan daripada Firaun, keluar air dari celahan batu dan sebagainya, namun mereka tetap ingkar kepada Allah SWT dan juga ingkar kepada Nabi Musa AS. Kerana hati mereka telah pun keras..... keras seperti batu atau lebih keras lagi....

Ini yang kita selaku umat Muhammad perlu muhasabah... adakah hati kita juga keras untuk mematuhi perintah Allah SWT, payah untuk mentaati arahan agama, berdolak dalik untuk melaksanakan hukum Islam dan menjauhi tegahan serta larangan agama.

Ingat, kalau Allah SWT mampu menghukum Bani Israil umat Nabi Musa AS pastinya Allah yang sama mampu untuk menghukum kita umat Muhammmad SAW disebabkan kita "keras hati" bagi melakukan, mengerjakan dan melaksanakan hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran.

Marilah kita mohon, kita pinta, kita berdoa agar hidayah Allah dilimpahkan kepada kita semua...... dan hiduplah kita dengan hidayah..... HIDAYAH KOMPAS KEHIDUPAN

3.11.09

RESPON KES DR.ASRI

Respon/Kenyataan Media PGSM-NGOs terhadap kenyataan akhbar Dr. Asri Nov 2nd, 2009 By webmaster Category: Kenyataan Media, Utama
Kenyataan Media

Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM

Ahad, 1 November 2009



Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr.Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut :-

Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.

Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.

Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.

Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.

Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.

Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.

Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.


Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.


Ditandatangani oleh :



……………t.t..………………….
MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini :-

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajat Islam Malaysia (PKPIM)
Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Yayasan Jenderami
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Yayasan Paksi Kedah
Persatuan Ulamak Kedah
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
Institut Pengajian Tradisional Islam
Khalifah Institut.

2.11.09

HIDAYAH

HIDAYAH ILAHI


ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH TAUFIK BUKAN SAHAJA MUDAH MELAKUKAN KETAATAN, BAHKAN MENDAPAT KEMANISAN HASIL KETAATANNYA ITU. SOLAT DIRASAKAN MANIS DAN ASYIK. TERASA BAGAI KEKASIH BERCANDA DENGAN KEKASIH. TIDAK TERASA MASA BERLALU, JIWA RASA TENANG DAN TENTERAM.

Nukilan: ummuiman@blogspot.com

30.10.09

JAMUAN AKHIR TAHUN

MAJLIS JAMUAN AKHIR TAHUN
KELAB GURU DAN STAF SMKA FALAHIAH 2009


Tarikh: 30 okt 2009
Hari: Jumaat
Masa: 8.00 malam
Tempat: Dewan Putih, Tingkat 2, Ridel Hotel, Kota Bharu

Atur cara majlis

: pendaftaran
: ucapan pengerusi majlis
: bacaan doa oleh Ust Ab Shukor B Othman
: acara jamuan bermula
: ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Kelab Guru dan Staf SMKA Falahiah 2009 - Ust Mohd Zahrin B Hj Saleh
: Ucapan Pengetua SMKA Falahiah
: pembahagian hadiah & cabutan bertuah
: majlis bergambar
: majlis bersurai


TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PIHAK YANG TELAH MENJAYAKAN MAJLIS INI

"Dan Allah telah mempersatukan hati mereka, walaupun kamu membelanjakan semua yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka akan tetapi Allah lah yang mempersatukan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana"
(Surah Al-Anfal:63)

29.10.09

KHUTBAH JUMAAT 30/10/2009

KHUTBAH JUMAAT

Esok tiba giliran ustaz untuk menyampaikan khutbah jumaat yang bertajuk: PENCEGAHAN "PENGAMAL RASUAH PENGKHIANAT NEGARA".

Antara intisari yang dapat kita kongsi bersama:

  • Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Berdasarkan dalil qati' iaitu al-quran , as-sunnah dan ijmak ulama. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah:188 maksudnya:

Dan janganlah kamu makan harta orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim keran hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)

  • Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabari:

Mafhumnya: "Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam api neraka"

  • Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadat solat dan doa kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah, ibadat dan doa kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT.

  • Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka sekali lagi diingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:
  1. Menjamin kesinambungan nasab atau keturunan kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti.
  2. Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan
  3. Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah
  4. Membuktikan bahawa amalan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.

link laman ulama

Link Laman Ulama & Du'at

sumber: http://lamanulama.blogspot.com


www.ghazali.org : Laman web Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali. Sudah tentu laman ini bukan laman yg dicipta sendiri oleh Imam Ghazali. Ianya dicipta oleh pencinta ilmu Al-Ghazali.

www.alhabibali.com: Laman web pendakwah terkenal, Al-Habib Ali Zainal Abidin bin Abdul Rahman Al-Jifri. Seorang ulama berketurunan Nabi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam yg giat berdakwah ke serata dunia.

www.bouti.com : Laman web Doktor Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Bouti. Kelas pengajiannya di Syria sentiasa dihadiri oleh ribuan muslim di sana.

www.alhabibomar.com : Laman web Ad-Daie Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafiz. Ulama tersohor dari negeri Hadramaut di Yaman.

www.amrkhaled.net : Laman web pendakwah popular, Amru Khaled. Beliau berasal daripada Negara Mesir.

www.saidnur.com : Laman web Badiuzzaman Sa'id Nursi. Seorang Mujaddid kelahiran Turki. Pengarang kitab Rasail Nur.

www.qaradawi.net : Laman web Doktor Yusuf Al-Qaradawi. Ulama tersohor dunia. Presiden Al-Ittihad Al-'Alami li Ulama Al-Muslimin. (Persatuan Ulama Sedunia)

www.zuhayli.net : Laman web Doktor Wahbah Az-Zuhaili. Ulama kelahiran Syria. Pengarang kitab Tafsir Al-Munir dan Fiqh Al-Islami yg tersohor.

www.aboghodda.com : Laman web Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Kelahiran Syria. Alim besar dalam bidang hadith dan banyak mentahkik kitab-kitab yg bermutu. Belajar dengan guru-guru yg terkenal. Sezaman dengan Imam Hasan Al-Banna. Aktif dalam gerakan Ikhwan di Syria.
www.suhaibwebb.com : Laman web seorang rakan dan pendakwah yg saya geruni, Syeikh Suhaib Webb. Pendakwah kelahiran Amerika ini berkahwin dengan seorang wanita warga Malaysia. Pertama kali bertemu beliau di Mesir, kami berbual tentang Malaysia. Ketika itu saya tak tahu beliau ialah 'Suhaib Webb'!

www.harunyahya.com : Laman web Adnan Oktar atau nama penanya, Harun Yahya. Kelahiran Turki. Musuh ketat ideologi Materialisme dan Darwinisme. Dipenjarakan selama 3 tahun dan masih berada di dalam penjara. Walaupun jasad beliau dipenjarakan, tapi ruh beliau tetap bebas. Semoga Allah membebaskan beliau! Aminnn...

www.al-razi.net : Laman web Imam Fakhruddin Ar-Razi. Dikelolakan oleh Syeikh Sa'id Fudah, ulama hebat di Jordan.

www.alghazaly.org : Laman web Syeikh Muhammad Al-Ghazali. Bapanya menamakannya sedemikian untuk bertabarruk dengan nama Imam Muhammad Al-Ghazali. Ulama Mesir yg sezaman dan rapat dengan Imam Hasan Al-Banna. Imam Hasan Al-Banna menggelarnya sebagai 'Adib Dakwah' yg bermaksud Ahli Sastera Dakwah.

www.abdelkafy.com : Laman web Doktor Umar Abdul Kafi. Ulama kelahiran Mesir. Beliau menghafaz Sohih Bukhari dan Muslim beserta dengan sanadnya.

http://el-wasat.com/assawy : Laman web Doktor Solah Sowi. Ulama kelahiran Mesir. Beliau merupakan Setiausaha Agung Assembly of Muslim Jurist Of America (AMJA)

www.okamel.com : Laman web Doktor Umar Abdullah Kamil. Ulama kelahiran Mekkah Al-Mukarramah. Menjawab banyak persoalan-persoalan kontroversi sekitar Bidaah dan yg seumpamanya melalui kitab-kitab karangannya. Mempunyai karya dalam pelbagai bidang ilmu.

www.drsano.net : Laman web Profesor Dato' Doktor Sano Koutoub Moustapha. Menerima 'The Quality Research Award for Best Research Year 2000/02 (University Level) IIUM', 'The Excellent Researcher Award for the Faculty of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences, IIUM 'dan 'Candidate for King Faisal International Award for Islamic Studies (Usul Fiqh) year 2005'. Pada tahun 2008, beliau menerima 'Certificate of Appreciation from ISESCO in recognition of oustanding contribution to the promotion of higher education in the Muslim world.'

www.binbayyah.net : Laman web Syeikh Abdullah bin Bayyah. Ulama terkenal kelahiran Mauritania. Pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan, Menteri Keadilan dan Timbalan Presiden Mauritania. Kemudian berpindah ke Arab Saudi dan menjadi Profesor Usul Fiqh di sebuah universiti di sana.

www.naiem.com : Laman web Syeikh Muhammad Naiem 'Aroqsusi. Ulama kelahiran Syria. Memperoleh ijazah Qiraat Sepuluh melalui Syeikh Muhyiddin Al-Kurdi. Terlibat aktif dalam kerja mentahqiq kitab-kitab Turath seperti Siyar 'Alam An-Nubala' dan Musnad Imam Ahmad.

http://elsharawy.com : Laman web yg menyediakan audio kelas pengajian Tafsir Syeikh Muhammad Mutawali As-Sya'rawi untuk didownload. Juga menyediakan karya penulisan Syeikh dalam bentuk fail PDF.

www.adnanibrahim.net : Laman web Syeikh Adnan Ibrahim. Ulama kelahiran Gaza, Palestin. Menetap di Vienna, Austria. Al-Bouti memujinya dengan berkata, "Orang Islam yg hidup di negara Barat ini akan berada dalam kebaikan selagimana wujudnya individu seumpama Syeikh Adnan."

www.abdullahelwan.net : Laman web Syeikh Murabbi Abdullah Nasih 'Ulwan . Aktif dalam Ikhwan sejak remaja. Terkenal dengan penulisannya yg bermutu. Ketika peperiksaan Master di Mesir, beliau menjawabnya dalam keadaan tangan yg digari. Selesai peperiksaan, terus diterbangkan ke tanah air, Syria. Ketika di hospital, beliau meletakkan bantal di hadapan, lalu menulis kitab Silsilah Madrasah Du'at yg belum disiapkannya.

www.ahmed-deedat.net : Laman web pendakwah tersohor, Syeikh Ahmad Deedat. Titik permulaannya dalam bidang dakwah ialah apabila pendakyah Kristian melontarkan banyak soalan tentang Islam lalu gagal menjawabnya. Maka, beliau mula mempelajari Injil dengan mendalam lantas meninggalkan perniagaannya, terjun ke medan dakwah dan berdebat dengan ramai paderi dunia.

http://alimamalallama.com : Laman web Syeikh Ali Jum'ah, Mufti Kerajaan Mesir. Mempunyai sanad keempat-empat mazhab. Antara gurunya yg masyhur ialah Syeikh Abdullah bin As-Siddiq Al-Ghumari dan Syeikh Abd Fattah Abu Ghuddah.

28.10.09

DOA BUAT EX- FALAHIAH 2008

Buat Hanif.

Ustaz sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak didik semua.



Amalkan doa ini.

Allahumma ya Allah..aku pohon keampunan Mu ya Allah.

Terangkanlah hati ku semasa menghadapi peperiksaan ini, permudahkanlah aku dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan ini, berilah aku kejayaan yang baik dan cemerlang, dan berikanlah aku keampunan dan keberkatan daripadanya.

Aku adalah hamba Mu dan anak dari hambaMu. Ubun-ubunku berada diatas tangan Mu. Janganlah Kau tinggalkan aku dalam keadaan berhajat melainkan kau tunaikan hajatku, janganlah kau tinggalkan aku dalam keadaan bermohon melainkan Kau penuhilah permohonan ku.

Hanya pada Mu lah aku menyembah, dan pada Mu lah aku mohon pertolongan. Kabulkanlah doa ku ya Allah. amin ya robbal 'alaamin".

MAKLUMAN BUAT CALON-CALON STPM 2009

Calon-calon STPM 2009 Smka Falahiah

Jadual Peperiksaan STPM


Kertas Usuluddin (1) : 25/11/2009 (Hari Rabu)
: 2.00 - 5.00 petang


Adakah anda telah bersedia?

Ustaz sentiasa mendoakan anda semua berjaya dalam peperiksaan ini.
Terutama subjek Usuluddin (1).

Yakin Boleh

jangan bersedih

Jangan bersedih, Tanyalah Dirimu Sendiri Tentang Hari ini, Kelmarin dan Esok


Tutuplah pintu besi masa lalu dan masa depan dan hiduplah dalam detik-detik hari ini.

1. Apakah saya mampu mengambil faedah dari rangkaian detik demi detik dalam kehidupan hari ini?

2.Bila saya akan mulai melakukan itu semua? Minggu depan? Esok? Atau, Hari ini?